Maksud Warna Pada Jalur Gemilang



Bendera Malaysia merupakan identiti unik negara kita Malaysia.

Dikenali dengan nama Jalur Gemilang, simbol, warna dan lambang yang ada pada bendera ini mempunyai maksud tertentu yang melambangkan jati diri rakyat Malaysia secara amnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah memahami maksud segala simbol, corak dan warna pada Jalur Gemilang agar semangat cintakan negara tersemat dalam sanubari diri kita.

Maksud Warna Pada Jalur Gemilang

Jalur Gemilang

Biru: 

Latarbelakang bulan sabut dan bintang yang berwarna biru pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.

Kuning: 

Warna kuning pada bintang dan bulan sabit ialah warna diraja raja-raja Melayu.

Merah: 

Melambangkan keberanian rakyat Malaysia mengharungi pelbagai cabaran demi negara tercinta

Putih:

Melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum

Pencipta Jalur Gemilang




Haji Mohamed bin Hamzah (Jawi: ‏محمد بن حمزه‎‎;‭ 5 Mac 1918 - 19 Februari 1993) merupakan seorang pereka bentuk bendera yang ahli dalam bidang veksilologi dan arkitek Malaysia. Beliau merupakan pencipta Jalur Gemilang, iaitu Bendera Malaysia. Beliau bertugas sebagai seorang arkitek di negeri Johor dan telah ditugaskan untuk membina banyak struktur dan bangunan kerajaan di negeri tersebut.

Beliau paling terkenal dengan karya-karyanya dalam mereka bentuk Bendera Malaysia (dahulunya Persekutuan Tanah Melayu), Jalur Gemilang. Apabila Persekutuan Tanah Melayu hendak ditubuh, negara tersebut memerlukan satu bendera baharu bagi menggantikan bendera Malayan Union. Beliau juga terkenal kerana mereka bentuk jata negeri Johor, kad jemputan kerajaan Johor, lambang kerajaan, serta bangunan-bangunan seperti Dewan Jubli Intan di Johor.

Sumber : Wikipedia

Fakta Jalur Gemilang

Bintang Pecah 14 :

Menunjukkan perpaduan 13 Negeri dan 1 Wilayah Persekutuan

Warna Kuning Anak Bulan Dan Bintang

Melambangkan warna Diraja Duli Yang Maha Mulia Agong

Warna Putih

Menunjukkan Kesucian Dan Keluhuran

Warna Merah

Menunjukkan Keberanian

Warna Biru Tua

Menunjukkan Perpaduan rakyat berbilang kaum dalam luar negara

Bulan Bintang

Melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi bagi persekutuan dan negara

Sejarah Penciptaan Dan Rekabentuk


Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan.


Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang. Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.


Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum. Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Bendera ini dikenali sebagai bendera Malaysia.


Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya. Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang.


Susunan Keutamaan Bendera Susunan keutamaan bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan, Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Selaras dengan perlantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV pada 13 Disember 2016, kedudukan Susunan Kekananan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di- ertua-Yang di-Pertua Negeri, maka susunan keutamaan bendera yang diperuntukan di bawah Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 bagi bendera Malaysia dan negeri-negeri adalah berubah seperti berikut:


KEUTAMAAN NEGERI/WILAYAH 

1. Malaysia
2. Kedah
3. Pahang
4. Terengganu
5. Perlis
6. Selangor
7. Negeri Sembilan
8. Johor
9. Perak
10. Kelantan
11. Pulau Pinang
12. Melaka
13. Sabah
14. Sarawak
15. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
16. Wilayah Persekutuan Labuan
17. Wilayah Persekutuan Putrajaya

Susunan kekananan DDYMM Raja-Raja dan TTYT Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri yang terkini adalah berkuat kuasa pada 13 Disember 2016.

Sumber: Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)

Lirik Lagu Jalur Gemilang

Lagu Jalur Gemilang


Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Jalur Gemilang! Hehe! Saya sayang bendera negara saya! Janganlah dijatuhkan atau dibiarkan bila terjatuh tu... Semoga terus aman Malaysiaku!

    BalasPadam
  2. Sejarah ini memang harus diulang-ulang cerita

    BalasPadam
  3. Baru tahu pasal sejarah jalur itu.

    BalasPadam

[PENAFIAN]

Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.

Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.

Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.

~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.

~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...

Terima kasih.