~FITNAH WANITA
‘Takutlah (berhati-hatilah) kalian dengan dunia
dan takutlah kalian terhadap fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah
yang mula-mula menimpa bani Israil adalah dalam urusan wanita.’ [Hadis
Riwayat Muslim]
Islam telah menegaskan kepada kita bahawa suara
perempuan adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara
mereka adalah kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu kepada
pelbagai fitnah. Atas sebab yang sama Allah melarang perempuan
melembut-lembutkan suara di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian
akan mengundang reaksi tidak baik di hati-hati lelaki yang menghidap
penyakit. Maka jika mata suka memandang kepada sesuatu yang cantik dan
indah, telinga pula amat gemar mendengar suara yang merdu dan manja.
Fitnah yang ditimbulkan suara tidak terbatas kepada suara para penyanyi
wanita sahaja, tetapi boleh juga timbul dari suara semua wanita. Hatta
dalam solat, berhadapan dengan Allah pun, tidak diharuskan wanita
mengangkat dan meninggikan suara sekiranya imam solat tersalah, tapi
disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita ditakuti mengganggu
kekhusyukan solat orang lain.
Bergurau senda dengan perempuan
adalah salah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka, suara
yang menjadi pesona luar biasa bagi lelaki. Sering kita terdengar orang
berkata: si dia memiliki suara manja, merdu, lunak dan memikat hati dan
lain-lain. Atau, dia mempunyai suara serak-serak basah dan berirama dan
sebagainya. Kerana tertariknya mereka kepada suara wanita, mereka
memandangnya sebagai perkara yang harus dipuja lebih daripada segalanya.
Apakah hal seperti itu bukan fitnah namanya? Lebih-lebih lagi apabila
kalmat-kalimat yang diucapkannya disertai dengan senyuman yang
mengandungi pelbagai makna dan tafsiran. Kebanyakan wanita, setiap kali
bercakap akan diikuti dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan
cara begini barangkali mereka merasakan harga diri mereka terjaga dan
terpelihara. Ini juga termasuk fitnah yang dahsyat!!!
Ada
sesetengah wanita gemar bercakap dengan kaum lelaki, mereka tidak
merasakan hal itu suatu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut,
mereka juga bercakap dengan isyarat mata dan pandangannya. Tetapi ada
juga di kalangan wanita yang tidak gemar bercakap dengan kaum lelaki,
cukup dengan pandangan mata sahaja. Mereka mengutarakan isi hati mereka
melalui mata dan pandangan sahaja. Hubungan antara mata dan hati adalah
hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di dalam hati
akan kelihatan di mata. Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa
selamanya hati dan mata mempunyai hubungan yang erat. Allah menjelaskan
bahawa setiap yang tersembunyi di dalam relung hati dan yang terkandung
di dalam mata adalah jelas dalam ilmu-Nya.
Yang menjadi fitnah
bukanlah kerana mata itu indah dan mempesona sahaja, bukan pula kerana
wanita itu memiliki bulu mata yang panjang dan alis mata yang lentik
sehingga dengan mudah menerobos ke dalam hati tanpa izin, bukan pula
kerana anak mata yang hitam berkilat atau yang kebiru-biruan. Tetapi,
sebenarnya yang menjadi fitnah itu ialah kemampuan mata wanita itu
menyatakan keinginan hatinya, melontarkan pandangan yang lembut,
seolah-olah dia memanggil-manggil dan mengajak pada suatu ketika, dan
dia menjanjikan sesuatu pada ketika yang lain.
Agar tidak
terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata wanita, Islam menyarankan
supaya tidak memandang mereka dan menundukkan pandangan bila berhadapan
dengan wanita. Demikian juga, kaum wanita juga dituntut supaya tidak
memandang lelaki dan mengelakkan diri mereka daripada pandangan kaum
lelaki. Hal yang demikian disebabkan kerana dirinya sendiri adalah
fitnah yang berganda. Kata orang, fitnah yang timbul dari mata dan dari
suara wanita, sama-sama berbahaya. Dan, seorang fitnah itu tahu bahawa
mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang
menggunakannya tidak kepada yang disuruh dan yang dibolehkan iaitu
kepada suami mereka, tetapi mereka menggunakannya kepada yang tidak
sepatutnya.
Oleh sebab itu, Islam melarang memandang kepada
benda-benda yang haram, seperti seorang wanita memandang kepada lelaki
ajnabi dan seorang lelaki memandang kepada wanita. Kerana pandangan mata
itu lamanya mungkin cuma satu atau dua saat, namun bekasnya dapat kekal
di dalam hati sepanjang hayat!!
Tubuh wanita juga boleh
menimbulkan fitnah. Fitnah yang bagaimana? Mempamerkan kecantikan tubuh
terutamanya dengan membuka aurat adalah satu fitnah yang pasti. Hal ini
akan membawa fitnah bagi setiap lelaki apabila seorang wanita tidak
menutup auratnya, apalagi kalau ia memamerkan bentuk tubuhnya yang
seharusnya mereka tutupi dan sembunyikan. Apatah lagi dengan ‘trend’
golongan kini yang suka menggayakan busana-busana ‘muslimah’ yang
kononnya berpakaian menurut Islam dan berhias berlebih-lebihan
(bertabaruj)sehingga menyebabkan lelaki tergoda. Ini juga merupakan
suatu fitnah.
Keluar rumah tanpa ada keperluan, atau
meninggalkan tanggung jawab rumahtangga merupakan satu fitnah wanita
yang timbul dari golongan wanita kini terutamanya yang telah bekerjaya
ataupun golongan wanita muada-mudi. Betapa ramai kaum wanita disebabkan
mengejar urusan dunia, mereka tinggalkan anak-anak mereka, mereka
serahkan urusan anak mereka sepenuhnya kepada pembantu sehingga
menimbulkan akibat dimana tidak terjalinnya kasih sayang antara anak
dengan ibunya.
Apa yang lebih teruk lagi apabila wanita ingin
dijadikan ‘barang dagangan’ atau dalam bahasa yang lebih lembutnya,
inginkan diri mereka dipaparkan di dalam iklan, media massa, majalah,
televisyen, suratkhabar, dan sebagainya. Bahkan penilaian terhadap
mereka dilakukan secara fizikal sahaja yakni pada luaran.
Bercampurgaul antara lelaki dan perempuan dalam berbagai tempat, baik di
dalam lingkungan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya,mengakibatkan
terjadinya perbuatan maksiat seperti zina, pergaulan bebas,
perselingkuhan dan lain sebagainya. Hal ini sebenarnya merupakan satu
propoganda musuh-musuh Islam, musuh-musuh syariat Islam yang ingin
merosakkan umat Islam melalui wanita. Mereka membuka ‘laluan’ pekerjaan
yang hanya untuk wanita, sehingga terjadinya pengangguran di kalangan
lelaki, akhirnya timbullah kerosakan. Mereka merosakkan aqidah umat
Islam melalui wanita dengan menanamkan pelbagai syubhat, diantaranya
persamaan taraf lelaki dan wanita.
Adab-adab yang perlu dijaga oleh wanita
i)Pandang Memandang
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang
beriman: Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan
mata mereka….” (Surah An Nur : Ayat 31)
Buraidah r.a. berkata:
Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a. : “Ya Ali!
Janganlah kamu ikutkan satu pandangandengan satu pandangan yang kedua,
kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama sahaja (terpandang) dan
tidak bagi kamu pandangan yang kedua.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud,
Turmudzy dan Al Hakim)
ii)Bertemu Muka Sendirian
Rasulullah SAW telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah
dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat
dengan seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana
sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.” (Riwayat Imam Ahmad dari
Jabir r.a.)
“Janganlah seorang lelaki bertemu sendirian dengan
seorang wanita yang tidak halal baginya, kerana bahawasanya yang
ketiganya tentu syaitan, kecuali jika dengan mahram.” (Riwayat Imam
Ahmad dari Amir bin Rabie’ah r.a.).
iii)Berjabat Tangan
Aisyah r.a. berkata: “Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w.
menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia
membai’at mereka itu dengan percakapan.”(Riwayat Imam-Imam Bukhari,
Muslim dan Turmudzy).
iv)Pakaian Di Luar Rumah
Firman Allah yang ertinya :
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang
apa yang telah tampak daripadanya; dan hendaklah mereka itu mengulurkan
tudungkepala mereka atas leher dan dada mereka.” (Surah An Nur: Ayat
31)
v) Adab Bermusafir
Sabda Rasulullah SAW :”Tidak
halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari
Kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari dan semalam,
melainkan jika bersama seorang mahramnya.” (Riwayat Imam-Imam Ahmad,
Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzy dari sh. Abi Hurairah r.a.)
vi) Hak Pendidikan
Kata Abu Said r.a. : “Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah
s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang-orang lelaki telah dapat
pengajaran dengan hadith (sabda) engkau, maka itu jadikanlah bagi kita,
orang-orang wanita, dari engkau suatu hari yang kita agar dapat datang
kepada engkau,agar engkau memberikan pengajaran atas kita dari pada apa
yang telah Allah berikan atas engkau (berupa tazkirah).” Maka Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di
tempat ini.”(Riwayat Imam Bukhari)
vii) Larangan Menunjukkan Perhiasan
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui
barang apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka.”
(Surah An Nur: Ayat 31)
Ke mana perginya adab-adab ini?
Islam sebenarnya mengangkat darjat wanita, memuliakannya sesuai dengan
fitrah yang Allah S.W.T ciptakan, sehingga Islam membuat aturan-aturan
yang adil terhadap wanita. Oleh kerana itu, hendaklah kaum lelaki
bertaqwa
kepada Allah dalam menghadapi pelbagai fitnah wanita,
kerana Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang
lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR
Bukhari dan Muslim)
Sedarilah duhai para wanita muslimah yang
ingin menyelamatkan dirinya dan agamanya dari pelbagai macam fitnah.
Tunjukkan kebaikan diri anda dengan memelihara diri dari hal-hal yang
terlarang dalam agama. Janganlah terpedaya dengan tipu daya dan
gemerlapnya dunia. Wahai para wanita muslimah, jangan kalian tertipu
dengan slogan; hak asasi manusia ataupun hak asasi wanita, lalu anda mau
menjual diri anda dengan harga yang sedikit. Anda korbankan diri dan
kehormatan anda hanya untuk sekedar memenuhi kehidupan yang sementara
ini. Ingatlah bahawasanya kita tidaklah hidup selamanya. Ketika kematian
menjemput kita, apakah yang akan kita bawa sebagai bekal di akhirat
kelak ? Renungkanlah wahai saudariku, mudah-mudahan dengan mengamalkan
wasiat ini akan menjadikan kita golongan orang yang selamat, kerana
sesungguhnya kebanyakan dari isi neraka adalah kaum wanita, berdasarkan
sabda Rasulullah S.A.W: “Aku telah melihat syurga dan ku lihat
kebanyakan dari penghuninya adalah orang-orang miskin dan aku telah
melihat neraka maka kebanyakan dari penghuninya adalah para wanita.” (HR
Bukhari dan Muslim).
0 PEMBERI ULASAN
[PENAFIAN]
Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.
~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.
~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...
Terima kasih.