Ketua BNPB, Willem Rampangilei berkata, data yang diperoleh badan itu menunjukkan kawasan pertanian yang sudah terbakar tahun ini mencapai 1.7 juta hektar tetapi salah sebuah satelit menunjukkan kebakaran melanda kawasan yang lebih luas sehingga lebih 4.7 juta hektar.
Beliau tidak menafikan kawasan kebakaran yang amat luas itu menyukarkan usaha-usaha menangani kebakaran kerana kawasan yang terbakar kelihatan seperti barisan api yang memanjang atau lautan api dan taufan api.
“Lihat saja, ini ada fire tornado dan ini lautan api. Bagaimana mahu dipadamkan?” ujar Willem ketika menunjukkan video kebakaran hutan di Sumatera Selatan selepas menghadiri mesyuarat menangani kebakaran hutan dan jerebu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau terkejut dengan kebakaran yang turut melanda hutan di Papua kerana ini adalah kali pertama wilayah tersebut mengalami kebakaran hutan dalam skala yang besar.
Semalam, Satelit Aqua dan Terra memaparkan sebanyak 819 titik panas di wilayah tersebut.
Sementara itu, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Luhut Pandjaitan mengakui kebakaran di tanah gambut merupakan hasil daripada kesilapan pentadbiran pemerintah dalam tempoh 10 tahun lepas.
“Inilah kesilapan pentadbiran yang kita buat, membenarkan tanah gambut dijadikan kawasan pertanian. Saya tidak ingin mencari kesalahan lalu, tetapi jangan diulang lagi pada masa yang akan datang,’’ ujarnya.
Menurut Luhut lagi, kira-kira 4.8 juta hektar tanah gambut yang dijadikan kawasan pertanian dalam tempoh 10 tahun lalu kini menjadi masalah utama disebabkan kebakaran di tanah seumpama itu sukar dipadamkan. – Utusan